Friday, September 19, 2014

Konsep Budaya dan Masyarakat

KONSEP BUDAYA

Menurut E.B Taylor, budaya atau peradaban adalah suatu kesatuan yang kompleks, mengandungi pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, adat resam dan lain-lain kebolehan manusia sebagai anggota sebuah masyarakat (Mohd Taib Osman, 1988). Menurut Brown pula, kebudayaan diertikan sebagai idea cultivation, yang bermaksud suatu proses kehidupan yang diperoleh seseorang melalui hubungan dengan orang lain, melalui benda-benda, buku-buku, karya seni, pengetahuan, kemahiran, idea dan kepercayaan (Radclif, 1980).

Dari segi konsepnya, budaya bererti suatu gelagat, kepercayaan, sikap, nilai dan idea yang dikongsi bersama oleh setiap individu dalam satu-satu kumpulan. Fungsinya adalah menyediakan cara semula jadi untuk ahli organisasi atau masyarakat melakukan sesuatu perkara (Embe & Ember, 1993; Busher & Saran, 1992).

Berdasarkan pendapat di atas, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa budaya merupaka suatu proses perkembangan kelakuan, akal, semangat dan usaha manusia dalam sesebuah kelompok masyarakat. Dengan kata lain, budaya merujuk kepada cara hidup manusia yang membawa kepada pembinaan tamadun sesebuah masyarakat yang diwarisi dan bersifat dinamik.


KONSEP MASYARAKAT


Horton dan Hunt (1988) mentakrifkan masyarakat sebagai sekumpulan manusia yang boleh berdiri sendiri (berdikari), menghasilkan sistem ekonomi yang boleh menampung diri mereka tanpa bergantung kepada orang lain. kelompok manusia tersebut mendiami satu kawasan yang sama di mana mereka berinteraksi sesama sendiri dan berkongsi budaya yang sama serta mendirikan persatuan dan kumpulan dalam kalangan mereka. Masyarakat juga akan membentuk kelompok tertentu sebagai memenuhi matlamat yang mereka ingini.


Rumusannya, masyarakat merupakan sekumpulan manusia yang hidup bersama-sama dalam tempoh waktu yang cukup lama, tinggal di suatu wilayah tertentu, mempunyai kebudayaan yang sama, mempunyai pemimpin yang dilantik dari kalangan ahli serta melakukan sebahagian besar kegiatan di dalam kelompok manusia tersebut.


CIRI-CIRI BUDAYA MELAYU


  1. Bersifat dinamik 
  2. Menerima dan menolak unsur tertentu
  3. Kebudayaan tersebut diwarisi
  4. Mengalami proses kesinambungan (berterusan)

No comments:

Post a Comment